JAMAL LANCAR CAWANGAN BARU JAMUAN RAKYAT MAKAN PERCUMA SETIAP HARI DI SEKINCHAN
25 Okt 2017 - Cawangan Baru Jamuan Rakyat Makan percuma setiap hari di lancarkan di Sekin Resort & Hotel Sekinchan hari ini.
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar menegaskan, pembukaan restoran makan tengahari percuma di dua tempat di negeri ini tidak mengira sempadan dan fahaman politik.
"Sesiapa saja boleh datang nikmati makan percuma...tak kira agama dan bangsa. "Ahli DAP, Pas, PKR dan Amanah boleh datang. Cuma yang tak boleh datang dan makan ialah Myanmar, Indonesia Bangladesh dan warga asing lain," katanya.
Jamal berkata, program makan tengah hari percuma yang dilaksanakan di dua tempat setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 12 tengah hari hingga jam 2.30 petang itu dilaksanakan dengan sokongan daripada rakan NGO yang lain.
Jamal juga mempelawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim untuk datang ke jamuan rakyat menikmati juadah makan tengahari percuma di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort (Sekin Hotel), Sekinchan.
Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, beliau sendiri akan memasak menu percuma itu untuk kedua-dua pemimpin berkenaan.
"Begitu juga YB (Yang Berhormat), Suee Lim nak datang pun beritahu dan boleh tengok kehebatan saya memasak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Restoran Gabungan NGO 1Malaysia Cawangan Sekin Resort, di sini, sebentar tadi.
"Banyak pertanyaan kepada saya sebelum ini kerana ada yang kata banyaknya duit saya nak diberikan kepada ribuan orang yang makan tengah hari percuma.
"Sebenarnya, bukan saya seorang saja menjayakan program ini. Contohnya, saya menyediakan tempat, logistik dan sebagainya, rakan-rakan NGO menyumbangkan keperluan lain.
"Saya tidak mengambil duit daripada rakan-rakan NGO, cuma mereka menyumbang bahan-bahan makanan seperti beras, minyak masak, gula, sayuran, ayam, ikan dan lain-lain," katanya.
Beliau memberitahu, dengan konsep sedekah yang dilaksanakan itu, program makan tengah hari percuma mendapat sambutan daripada orang ramai.
"Menariknya, sambutan daripada rakan-rakan NGO yang menyumbang untuk membangunkan program ini," katanya.
Beliau turut membayangkan untuk membuka sebuah lagi cawangan restoran makan percuma di negeri ini dalam waktu terdekat.
"Insya-ALLAH, ada cawangan yang ketiga yang akan dibuka setelah kejayaan restoran yang kedua ini.
"Saya akan umumkan beberapa minggu akan datang setelah kami stabil di sini," katanya.






























Comments
Post a Comment