RAMESH YAKIN BARISAN NASIONAL AKAN RAMPAS KEMBALI DUN HUTAN MELINTANG PADA PRU 14.
Kubu Kuat PKR Digempur
Tiga kawasan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang yang dikatakan kubu kuat PKR di kawasan itu sudah digempur dan ia jelas membuatkan kekuatan parti pembangkang di kawasan DUN berkenaan semakin goyah. Kubu kuat berkenaan ialah di kawasan ladang estet di kawasan Jendarata 1, 2 dan 3.
Kubu kuat itu digempur oleh Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) dengan melalui Presidennya, Ramesh Rao selepas pihak pengurusan kuil keagamaan Hindu di kawasan berkenaan sendiri menjemput beliau.
Kawasan berkenaan sudah terbiar tanpa perhatian oleh Ahli DUN (ADUN) PKR, yang mewakili mereka, S Kesavan biarpun sudah dua penggal mewakili penduduk di sana.
"Kubu kuat PKR selama 10 tahun hari ini terkulai kerana tiada perhatian diberikan dan kebajikan penduduk di sini antaranya bagi yang berbangsa India terabai.
"Rata-rata kaum India meluahkan rasa kecewa dengan janji-janji palsu serta harapan kosong oleh PKR," kata Ramesh.
Beliau menghadiri satu upacara keagamaan Hindu di kuil itu dan menghulurkan sumbangsan RM1,000 kepada pihak pengurusan kuil.
Bagi Ramesh, tidak ada tempat atau kawasan dalam Hutan Melintang akan dianggap kubu kuat mana-mana parti kerana semua penduduk di sana memerlukan perhatian yang sama dan masalah mereka perlu diselesaikan. Beliau berkata, tidak ada makna jika sesuatu kawasan itu dianggap kubu kuat PKR tetapi parti berkenaan tidak mempedulikan nasib rakyat di sana.
"Jika PKR anggap sesuatu kawasan itu kubu kuat, sudah tentu ADUN mereka turun padang dan buat kerja, kami dari PMSP turun padang atas jemputan pihak kuil di sini untuk menyelesaikan masalah mereka yang sudah lama dihadapi melibatkan kebajikan tempat beribadat kaum India ini," katanya.
Difahamkan kawasan ladang estet Jendarata ini tidak berani disentuh oleh mana-mana pihak termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC.
PMSP yang menyokong BN dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak giat berada di kawasan Hutan Melintang mendengar aduan serta rintihan masalah dari rakyat selepas diwakili oleh PKR selama hampir 10 tahun.
Ramesh merupakan anak jati Hutan Melintang dan sejak beliau bertemu serta mendampingi rakyat sejak beberapa bulan lepas, lebih 1,000 aduan diterima membuktikan Kesavan tidak menjalankan tugas sebagai ADUN di kawasan itu.
Comments
Post a Comment