SABAH DIPERUNTUKAN RM70 JUTA UNTUK BIAYAI PENGANGKUTAN BARANGAN KE PENDALAMAN-NAJIB



Kerajaan pusat memperuntukkan RM70 juta untuk membiayai kos pengangkutan barangan ke kawasan pedalaman di seluruh Sabah tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata peruntukan itu bagi memastikan harga barangan di pedalaman Sabah berada pada kadar rendah agar mampu dimiliki rakyat di kawasan berkenaan.

"Sebenarnya, harga barangan bukannya tinggi sangat, tetapi orang tengah yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

"Lazimnya, mereka (orang tengah) akan menaikkan harga barangan dan salahkan kerajaan kononnya harga naik disebabkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Ini tak benar kerana GST telah kita laksanakan sejak dua tahun lalu, sepatutnya tidak ada kesan sama sekali (pada harga barangan)," katanya ketika melancarkan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan Biz Far Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, hari ini.

Najib turut menjelaskan kadar GST negara sebanyak 6 peratus merupakan kadar paling rendah berbanding kadar GST yang dikenakan negara lain.

Malah, beliau berkata kerajaan terus prihatin dengan mengecualikan GST ke atas 578 barangan keperluan.

"Jadi tidak boleh menyalahkan kerajaan. Apabila ada hasil (daripada GST), kita akan pulangkan kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Kita sediakan RM6.8 bilion untuk agihan BR1M tahun ini dan (daripada jumlah itu) RM561 juta untuk Sabah, " katanya, sambil menambah pengagihan BR1M turut membantu ekonomi negara berkembang.

Najib berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar nadi rakyat agar langkah penyelesaian dapat dilaksanakan bagi membantu dan memanfaatkan rakyat.

Pada majlis itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan tambahan RM5 juta lagi kepada RM5 juta sedia ada bagi penganjuran karnival itu di seluruh negara dengan penganjurannya akan diadakan dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen.

Istimewa bersempena majlis pelancaran karnival itu, Najib mengumumkan penjualan barangan asas pada harga istimewa.

Antaranya, beras super 10 kg berharga RM23.80 di pasaran dijual RM20 untuk 20 kg, ayam bulat segar RM5 seekor (RM8.50 sekilo harga pasaran) dan daging lembu segar RM15 sekilo (RM25 sekilo harga pasaran).

Najib juga menyerahkan zakat korporat SSM berjumlah RM200,000 dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSM Prihatin sebanyak RM200,000 kepada Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Zakat korporat itu akan diagihkan kepada 1,000 orang asnaf serta beberapa surau dan masjid di Sabah, manakala sumbangan CSR itu pula akan diagihkan kepada 2,000 penduduk negeri ini yang layak.

Comments

Popular posts from this blog

PERAMUGARI BERPAKAIAN MENJOLOK MATA

Cadangan Najib, Ada Kumpulan Yang HISTERIA -Dr.Aznil