RAMESH MAHUKAN KESIHATAN DAN PENDIDIKAN MENJADI AGENDA BN HUTAN MELINTANG.




KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tiada seorang pun rakyat Hutan Melintang akan terpinggir daripada manfaat kesihatan dan peluang pendidikan tanpa mengira kaum serta perbezaan fahaman politik jika diberi mandat sekali lagi mentadbir urus Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pemimpin NGO pro-BN, Ramesh Rao berkata, perkara berkenaan lebih mudah dikembalikan kepada rakyat sekiranya pengundi di kerusi N54 itu memberi undi mereka hanya kepada calon BN dan ‘menamatkan kontrak’ wakil rakyat sedia ada daripada PKR, S.Kesavan.

Ramesh selaku Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin berkata, BN berkeupayaan untuk melahirkan warga Hutan Melintang yang berjaya dalam semua aspek pendidikan dan kemahiran berbanding PKR hanya pandai menabur janji tetapi gagal menunaikannya.

"Ramai penduduk di kawasan ini mempunyai potensi luas dalam pendidikan, sejak dua penggal kawasan ini diwakili oleh ADUN PKR, kebajikan dari soal pendidikan ini tidak diberikan perhatian langsung.

"Ia merupakan antara aduan yang diterima oleh pihak kami daripada mereka yang amat memerlukan bantuan dan kemudahan dalam soal pendidikan," kata Ramesh dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Ramesh telah mengadakan Kem Kesihatan Percuma untuk warga Hutan Melintang bagi membolehkan masyarakat di situ mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

"Kita sudah berjanji, jika BN berjaya menang semula di Hutan Melintang, kem kesihatan yang kita adakan pada 25 Mac lalu akan diadakan sebanyak dua kali setahun.

"Ini semua berkenaan matlamat kita untuk memastikan rakyat di kawasan ini adalah warga yang sihat," katanya.

Beliau juga berkata, sejak tiga bulan lalu pihaknya turun padang menyantuni pengundi Hutan Melintang mendapati lebih 1,000 aduan diterima NGO itu khususnya daripada masyarakat kaum India yang didakwa terpinggir daripada soal pembangunan, pendidikan dan kesihatan.

Ramesh berkata lagi, wakil rakyat yang mewakili komuniti Hutan Melintang perlu sentiasa memberikan komitmen sepanjang masa dan bukannya bermusim dan muncul lima tahun sekali, lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya.

"Wakil rakyat harus konsisten dan sentiasa turun padang serta beramah mesra dengan rakyat untuk bertanyakan masalah mereka supaya jalan penyelesaian dapat dicari dan mereka dapat dibantu.

"Atas keprihatinan ini, kami membuka kaunter khas dalam setiap program untuk memudahkan penduduk mengemukakan aduan," katanya.

DUN Hutan Melintang merupakan kerusi tradisi MIC namun ia gagal dipertahankan selepas tewas di tangan calon PKR, S.Kesavan sejak PRU12 pada 2008 dan PRU13 pada 2013.







Comments

Popular posts from this blog

PERAMUGARI BERPAKAIAN MENJOLOK MATA

Cadangan Najib, Ada Kumpulan Yang HISTERIA -Dr.Aznil