MT UMNO SEBULAT SUARA BERSETUJU JAWATAN PERINGKAT TERTINGGI DIPERTANDINGKAN -ZAHID HAMIDI
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan yang akan dipertandingkan termasuk presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan juga ketua-ketua pergerakan.
Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebulat suara bersetuju supaya semua jawatan di peringkat tertinggi dipertandingkan bagi memperkukuhkan lagi parti.
“Semua jawatan yang ada mengikut Perlembagaan UMNO, bebas dipertandingkan.
Beliau memberitahu, mana-mana pemimpin dan ahli yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding, mereka diberi peluang mendaftarkan diri secara dalam talian bermula 1 hingga 17 Jun ini.
“Tidak timbul soal bahawa tidak ada pertandingan bagi jawatan-jawatan tertentu dalam UMNO. Saya dan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berlapang dada dan bersifat terbuka mahu jawatan ini ditandingi sesiapa sahaja mengikut kriteria yang ditentukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat bulanan MT UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, MT UMNO juga telah membentuk sebuah jawatankuasa bertindak yang akan dipengerusikan oleh Ketua Penerangannya.
Katanya, fungsi jawatankuasa tersebut adalah bagi menyelaras semua aktiviti ahli-ahli MT yang menjaga bahagian dan cawangan masing-masing.
Katanya, jawatankuasa berkenaan dibentuk bagi membolehkan ahli-ahli MT turun padang bertemu dengan kepimpinan UMNO di peringkat cawangan dan bahagian.
Ahmad Zahid menjelaskan, tujuan pihaknya membuka semua jawatan untuk dipertandingkan bukan sekadar pertandingan semata-mata, sebaliknya lebih kepada bagaimana UMNO mahu diperkukuhkan.
Malah katanya, penstrukturan semula UMNO akan dilakukan dengan Khairy dilantik mengetuai gerak kerja berkenaan.
“Kita sedang menstrukturkan semula UMNO, bukan setakat penjenamaan tetapi kerja-kerja yang kita susun bagi melihat beberapa perkara yang perlu, bukan hanya kepada UMNO tetapi juga Barisan Nasional (BN).
“Kita menghormati pandangan rakan-rakan, parti-parti komponen dan juga kerajaan BN di Sarawak dan wakil-wakil BN Sabah yang kita tahu mereka kekal dan tetap bersama kita,” ujarnya.
Selain Hishamuddin, turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa.
BOLAVITA BANDAR JUDI ONLINE INDONESIA -- Bonus Freechip Lebaran 2018 <<< KLIK Untuk Klaim FreeChip
ReplyDelete