KEBUNTUAN DALAM ISU PELANTIKAN PEGUAM NEGARA


KENYATAAN MEDIA
YB Dato' Mohd Imran Bin Tamrin
ADUN N03 Sungai Panjang
4 Jun 2018



KEBUNTUAN DALAM ISU PELANTIKAN PEGUAM NEGARA

Kedudukan dan Peranan Peguam Negara adalah sesuatu yang amat mustahak kepada pentadbiran Kerajaan terutama fungsi sebagai Penasihat Perundangan dan kuasa dalam Pendakwaan sesuatu kes serta menjaga Kedaulatan Institusi Raja Berpelembagaan di negara kita. Pelantikan Peguam Negara diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perdana Menteri perlu segera menamakan calon untuk dilantik sebagai Peguam Negara kepada DYMM YDPA.

Saya yakin, Tun M sebagai Perdana Menteri yang berpengalaman faham dan arif tentang proses pelantikan dan kriteria pemilihan seorang Peguam Negara ini. Kriteria utama seorang Peguam Negara mestilah seorang yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan, mempunyai pengetahuan bukan sahaja dalam undang-undang tetapi perlu juga arif dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar kerajaan, budaya setempat negara kita dan sensitiviti masyarakat. Calon Peguam Negara juga mestilah seorang yang bebas serta saksama dan boleh membuat sebarang keputusan secara efektif, adil dan berintegriti.

Cadangan pelantikan Tommy Thomas sememangnya mendapat kritikan kerana latar belakang dan pendirian beliau yang tidak seiring dengan Institusi Perundangan Negara. Beliau juga adalah seorang Peguam yang pernah mewakili pemimpin-pemimpin Kerajaan dalam kes-kes tertentu sebelum ini. Ini sudah pasti mengundang elemen "bias" dan seumpamanya.

Sebagai Raja Berpelembagaan, sememangnya DYMM YDPA mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dalam apa juga keputusan mengikut Perlembagaan. Sebagai seorang Rakyat, saya percaya bahawa DYMM YDPA mempunyai hak untuk bersetuju atau tidak dengan cadangan atau nasihat Perdana Menteri. Dalam isu ini, DYMM YDPA tidak berkenan dengan cadangan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Keputusan DYMM YDPA tidak lah bertentangan dengan Perlembagaan melainkan jika DYMM YDPA menamakan calon lain selain daripada calon yang dibawa oleh Perdana Menteri. Bagi meredakan kekusutan ini, saya seorang Rakyat mengharapkan Tun M sebagai Perdana Menteri yang berpengalaman segera menamakan calon atau calon-calon lain.

Saya yakin ada ramai calon-calon yang layak serta berpotensi untuk dicadangkan sebagai Peguam Negara terutamanya daripada kalangan warga Jabatan Peguam Negara sendiri atau Jabatan Kehakiman. Mereka ini lah yang berpengalaman serta sentiasa berkerja keras dalam memastikan Kedaulatan Undang-Undang dan Keluhuran Perlembagaan serta Institusi Keadilan dalam negara kita. Sebagai sebuah Kerajaan yang ingin membawa sinar harapan baru, biarlah sinar itu memberi manfaat umpama sinar mentari bukan sinar radiasi yang membunuh rakyat.



Comments

Popular posts from this blog

PERAMUGARI BERPAKAIAN MENJOLOK MATA

Cadangan Najib, Ada Kumpulan Yang HISTERIA -Dr.Aznil