JIKA ANWAR IKHLAS INGIN BEKERJASAMA DENGAN UMNO-ISHAM JALIL
JIKA ANWAR IKHLAS INGIN BEKERJASAMA DENGAN UMNO
Saya telah dimaklumkan bahawa Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang akhbar berkenaan kerjasama PKR dengan UMNO pada petang ini.
Pada hemat saya, kita terbuka untuk pertimbang kerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mereka ikhlas dan jujur dalam kerjasama tersebut.
Dan ianya juga bergantung kepada penerimaan akar umbi UMNO dan pucuk pimpinan parti.
Saya tidak rasa akar umbi UMNO akan terima kerjasama ini jika tujuan Anwar semata-mata kerana dia ingin jadi Perdana Menteri.
Jika ini tujuannya, maka ia samalah niatnya seperti Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin dahulu, iaitu untuk gunakan UMNO untuk mencapai cita-cita mereka untuk jadi Perdana Menteri.
Dan seperti biasa, apabila habis madu, sepah akan dibuang.
Kita tidak boleh lagi terima kerjasama "scheme of things".
UMNO tidak boleh dipergunakan sebegini rupa.
Oleh itu, jika Anwar ikhlas untuk bekerjasama dengan UMNO, maka dia perlu terima hakikat bahawa dia tidak boleh paksa UMNO untuk terimanya sebagai Perdana Menteri.
Sebelum ini kita telah cuba selama 22 bulan bersama Perdana Menteri PH dan 12 bulan bersama Perdana Menteri PN, atau 34 bulan bersama Perdana Menteri PPBM, dan ianya telah gagal untuk membawa kestabilan politik dan ekonomi.
Perdana Menteri PKR (PH) tidak akan merubah keadaan ini.
Pada pandangan saya, Perdana Menteri perlu datang dari parti yang paling besar dengan akar umbi Melayu Islam yang paling ramai, iaitu UMNO.
Ini kerana, negara ini masih lagi majoriti Melayu dengan kumpulan terbesarnya umat Islam, dan selama ini UMNO yang berterusan banyak memperjuangkan kumpulan ini tanpa meminggirkan atau mengenepikan hak-hak kaum-kaum lain.
Ini amat penting untuk kestabilan politik justeru kestabilan ekonomi dan sosial negara.
Jawatan-jawatan lain mungkin boleh dipertimbangkan kepada beliau jika beliau ikhlas untuk bekerjasama.
Ikhlas,
ISHAM JALIL
16 Mac 2021
Comments
Post a Comment